Sunday 24 June 2012

PR ANIAYA SEKOLAH AGAMA RAKYAT

Awang bersimpati dengan nasib para pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR) Ar-Rahmaniah Taman Desa, Ipoh. Ibu bapa dan para pelajar di situ sudah lama memerlukan bangunan baru kerana sekolah sedia ada tidak lagi dapat menampung jumlah pelajar.

Ketika harapan mula memutik ekoran persetujuan dan peruntukkan kerajaan negeri bagi projek bangunan baru, mereka tersentak apabila projek tersebut dibantah oleh Ahli Parlimen Gopeng (PKR) Dr. Lee Boon Chye dan kelompok tertentu. Lebih mengejutkan apabila gerakan bantahan itu kemudiannya dapat mempengaruhi Pas untuk menolak projek tersebut.

Bantahan dibuat atas alasan bangunan baru itu akan dibina di atas padang awam, yang kononnya akan menjejaskan kepentingan penduduk.

Bagaimanapun berdasarkan kenyataan pihak SAR Ar-Rahman, tapak bagi bangunan itu hanya melibatkan kawasan yang kecil iaitu 0.3 hektar daripada 1.6 hektar keseluruhan padang. ''Ia tidak akan mengganggu sebarang aktiviti padang berkenaan,'' kata Guru Besar SAR Ar-Rahmaniah Taman Desa, Jamaludin Peraid yang kecewa dengan bantahan tersebut.

Perkara itu itu turut ditegaskan oleh ibu bapa dan para penduduk setempat terutama orang Islam namun Pas dan Boon Chye tetap membantah.

Awang hairan, apa sudah jadi khususnya dengan Pas. Perkiraan politik lebih utama daripada kepentingan Islam dan pendidikan untuk para pelajar. Sehingga hari ini Pas pusat tutup mulut, yang dilihat sebagai restu kepada bantahan tersebut.

Ketika Pas mendiamkan sahaja projek ladang khinzir, aktiviti banyak pusat urut di negeri pemerintahan pakatan dan gerakan murtad, mengapa SAR pula yang menjadi sasaran. Sepatutnya Pas lebih komited membantu SAR dan bukan bertindak sebaliknya.

Pada Awang, ia hanya mencerminkan kebodohan politik orang Islam itu sendiri. Ketika parti lain berpolitik secara bijaksana dengan hari demi hari memperkukuhkan kepentingan agama dan pendidikan kaum masing-masing, Pas bertindak songsang. Malulah.

- AWANG SELAMAT (Mingguan Malaysia)


Ulasan :

Inilah bukti bahawa demokrasi, kebebasan dan hak asasi sudah meresap sebagai agama baru kepada sebilangan orang Melayu. Ramai orang Melayu sekarang sudah hilang sensitiviti terhadap agama Islam berbanding masyarakat Melayu dulu.

Ini berlaku ketika semakin banyak surau, masjid, institusi pendidikan Islam (tadika, sekolah, kolej dan universiti) dibangunkan. Malah di TV sekarang sudah ada beberapa saluran khas Islam. Kenapa boleh jadi begini? Anehnya yang ramai menyertai Bersih 3.0 ialah para penyokong dan ahli sebuah parti yang menggunakan nama Islam. Mereka jugalah yang enggan menyertai Perhimpunan Sejuta Umat dulu.

Kenapa boleh jadi begini? Jawapannya adalah kegilaan berpolitik sudah mengatasi kecintaan sebenar kepada agama Islam. Mereka bercakap kononnya kepentingan agama mengatasi kepentingan politik. Tetapi hakikatnya tindak-tanduk mereka membuktikan bahawa kepentingan politik melebihi kepentingan agama. Malah agama tidak lebih hanyalah kuda tunggangan joki-joki politik yang mahu menuju ke garisan penamat bernama Putrajaya.

Yang penting adalah memeluk trofi kemenangan di Putrajaya? Kenapa boleh jadi begini?

"Yang demikian itu, kerana sesungguhnya kamu menjadikan ayat-ayat Allah sebagai olok-olokan dan kamu telah ditipu oleh kehidupan dunia, maka pada hari ini (di akhirat) mereka tidak dikeluarkan dari neraka dan tidak pula mereka diberi kesempatan untuk bertaubat," - Al Jaatsiyah 45: 35.

Kehidupan di dunia pada hari ini yang diatur oleh 'agama baru' bernama demokrasi telah mendorong manusia berlumba-lumba untuk merebut kuasa. Kononnya dengan kuasa inilah mereka akan melakukan yang terbaik untuk umat manusia. Bagaimana mungkin dengan kuasa ini mereka akan melakukan yang terbaik sesama manusia sedangkan ketika berebut kuasa mereka sudah melakukan pelbagai kemunafikan dan kemungkaran?

Rasulullah SAW dalam perjuangan menegakkan iman dan Islam tidak pernah menjadikan kuasa sebagai matlamat atau alat. Baginda hanya berdakwah dan terus berdakwah supaya manusia beriman kepada Tuhan Yang Esa dan mentaati-Nya. Baginda dan umat Islam hanya berperang setelah Allah memerintahkan mereka mempertahankan diri dan agama setelah diancam dan dianiaya berterusan oleh kaum musyrikin.

Baginda pernah ditawarkan kuasa dan kekayaan oleh kaum Quraish supaya menghentikan dakwahnya, tetapi baginda menolak keras. Pada hari ini kita hanya berdakwah secara cebisan dan sambilan, tetapi menjadikan usaha merebut kuasa sebagai kerja sepenuh masa.

Wahai orang Melayu, sedarlah bahawa kekuatan Islam di Malaysia terletak di tangan kita semua. Malaysia dipandang tinggi oleh negara-negara Islam lain kerana ada sesuatu pada kita yang tiada pada orang lain. Jangan nampak kuman di seberang laut, tetapi buta kepada gajah di depan mata.



Sent from Samsung tablet

No comments:

Post a Comment