Friday 29 June 2012

MANUSIA YANG RABUN



Sebahagian besar manusia, rabun jauh… hanya nampak kehidupan dunia. Akhirat seolah-olah tidak ada. Memburu kenikmatan dan kesenangan dunia tanpa memikirkan soal halal dan haram. Menipu, rasuah dan mengambil hak orang lain dengan penuh kelicikan dan tipu daya. Undang-undang dan peraturan dunia dimanupulasi dan dieksploitasi dengan bijaknya. Mengumpul harta sebanyak-banyaknya seolah-olah ingin hidup selama-lamanya di dunia.

Mereka lupa bahawa memburu dunia dengan melupakan akhirat hanya meninggikan tempat jatuh. Semakin banyak kuantiti harta yang mereka dapat, semakin banyak banyak kualiti jiwa yang mereka hilang. Ketamakan, kerakusan, kekejaman dan kepura-puraan akan melanda hidup mereka. Mereka akan ‘diburu’ oleh apa yang mereka buru. Harta adalah hamba yang paling baik tetapi tuan yang sangat kejam!

Ada pula golongan manusia yang punya hati rabun dekat. Mereka tidak mampu melihat dunia ini sebagai kebun akhirat. Dunia ini dirasakan bangkai yang busuk dan menjijikan. Lalu mereka menjauh dan membenci dunia. Kononnya hati mereka di akhirat tetapi terlupa bahawa kakinya masih menjejak dunia. Mereka ingin menyeberang tanpa jembatan, memburu matlamat tanpa alat… ingin memancing ikan tanpa umpan!

Mana mungkin kita memberi tanpa memiliki? Mana mungkin kita memiliki tanpa mencari? Mencari, memiliki dan memberi adalah tiga langkah yang perlu untuk memberi manfaat kepada orang lain. Orang beriman mesti mencari dunia… kemudian memilikinya dan akhirnya memberinya. Malangnya, golongan ‘rabun dekat’ ini menghindari dunia dan membencinya… lalu apakah yang hendak mereka berikan?

Jika tidak ada harta, mana mungkin ada pahala sedekah dan zakat? Jika tidak ada senjata, mana mungkin ada perjuangan dan jihad? Tanpa harta Sayidina Abu Bakar ra, Bilal akan terus menjadi hamba. Tanpa infak harta oleh Sayidina Utman ra, kaum Ansar dan Mujahirin tidak akan ada sumber air di Negara Islam Madinah. Justeru, jadilah tangan yang di atas… dengan mencari, memiliki dan memberi harta. Milikilah hati yang celik… dengan mencintai syurga tanpa meminggirkan dunia!

No comments:

Post a Comment